Friday 27 December 2013

 Perkembangan Falsafah Abad Pertengahan-Moden..
 Selamat ber"study week"
 Selamat menduduki peperiksaan akhir semua!
 Bittaufiq wannajah!









Monday 28 October 2013

Tokoh Falsafah:Ikhwan al-Safa



PENDAHULUAN




          Falsafah Islam merupakan satu bidang kajian yang membincangkan falsafah dari aspek tokoh-tokoh Islam itu sendiri.Secara umumnya falsafah telah wujud pada zaman Greek lagi,namun atas inisiatif ahli falsafah Islam,ilmu falsafah telah dielaraskan supaya dapat dimanfaatkan sesuai dengan hukum dan syariat Islam. Perbahasan tentang falsafah Islam biasanya berkisar kepada masalah asas dalam epistemologi iaitu sumber wahyu dan akal.Sejak dari dulu lagi persoalan tentang dua sumber inilah yang terus dipersoalkan sehingga timbul beberapa airan mazhab dalam pemikiran Islam.Namun perkembangan falsafah Islam menjadi semakin matang dan meluas melalui penterjemahan karya-karya dari falsafah Yunani ke dalam pemikiran Islam.Oleh itu lahirlah ramai tokoh ahli falsafah Islam terkemuka antaranya al-Khindi,al-Farabi,Ibn Sina dan Ibn Rusyd.
          Sejak pemerintahan Abbasiyah dipegang oleh al-Mutawakkil,cara pemikiran Mu'tazily dan buku-buku yang berunsur Mu'tazilah serta ilmu-ilmu sekular mula disingkirkan.Sementara itu,kepercayaan tradisional mula menguasai masyarakat Islam.Ahli falsafah dituduh sebagai penganut bidaah.Agama menjadi beku kerana tokoh-tokohnya yang jumud dan fanatisme.
           Pada masa ini muncullah sekelompok orang yang ingin menghidupkan kembali ilmu pengetahuan dengan mempelajari semua cabang ilmu pengetahuan,baik yang berasal dari negara Islam mahupun yang datang dari luar seperti India,Yunani,dan Romawi.Akibat tiada kebebasan berfikir dan menyuarakan pendapat pada masa itu,maka kelompok yang dikenali dengan nama Ikhwan al-Safa ini menjadi gerakan bawah tanah.Mereka berkumpul dan bertukar fikiran secara rahsia.Bahkan nama juga dirahsiakan untuk mengelakkan dari gangguan pihak berkuasa.
           Ikhwan al-Safa menfokuskan pemerhatiannya pada bidang dakwah dan pendidikan.Organisasi ini juga mengajarkan tentang dasar-dasar islam yang berasaskan persaudaraan Islamiyah iaitu sikap memandang iman seseorang Muslim tidak akan sempurna kecuali ia mencintai saudaranya seperti mencintainya dirinya sendiri.

 LATAR BELAKANG

        Lahirnya kumpulan falsafah ini disebabkan keadaan Islam pada ketika itu. Sejak penghapusan teologi rasional Mu’tazilah sebagai mazhab negara oleh al-Mutawakkil, maka kaum rasionalis dibuang dari jabatan pemerintahan, kemudian diusir dari Kota Baghdad. Kemudian, pemerintah melarang proses pengajaran kesusasteraan, ilmu, dan falsafah.
         Keadaan ini terus berlanjutan pada khalifah-khalifah yang berikutnya.Hal ini menimbulkan peningkatan cara berfikir secara  tradisional dan mundurnya keberanian berfikir secara rasional. Pada sudut lain, berjangkit gaya hidup mewah di kalangan pembesar negara. Maka, masing-masing berusaha mendekati khalifah untuk menanam pengaruh masing-masing sehingga timbul persaingan yang tidak sihat yang kemudiannya mendorong  timbulnya masalah moral.Oleh itu lahirlah Ikhwan Al-Safa’ yang ingin menyelamatkan masyarakat dan mendekatkannya pada jalan yang diredhai Allah. Menurut mereka (Ikhwan al-Safa’) syariat telah dicampur adukkan dengan bermacam-macam kejahilan dan kesesatan. Satu-satunya jalan untuk membersihkannya adalah dengan falsafah.
        Ikhwan al-Safa adalah kumpulan para mujtahidin dalam bidang falsafah yang banyak memfokuskan perhatiannya dalam bidang dakwah dan pendidikan.Kumpulan ini berkembang pada abad ke dua Hijrah di kota Basrah Iraq. Ikhwan Al-Safa (Brethren of Purity atau The Pure Brethen) adalah nama sekelompok pemikir Muslim rahsia (filosofi-religius) berasal dari fahaman Syiah Ismailiyyah yang lahir d tengah-tengah komuniti Sunni sekitar abad ke-4 H/ 10M di Basrah.Nama penuh kumpulan ini ialah Ikhwan al-Safa wa Khullan al-Wafa’ wa Ahl al-Hamd wa Abna’ al-Majd,diambil sempena satu watak dalam buku yang sangat mereka sanjungi, iaitu al-Kalilah wa al-Dimnah. 
      Ikhwan al-safa juga adalah satu kumpulan rahsia yang bergerak dalam bidang ilmu pengetahuan,walaupun kadang-kadang kumpuan ini seakan-akan menununjukkan kecenderungan dalam politik,sehingga ada sesetengah pihak yang beranggapan bahawa ia merupakan salah satu permainan kaum syiah.Namun,pendapat ini kurang jelas,kerana kumpulan ini tidak bersetuju dengan dasar yang fundamental dari ajaran syiah iaitu adanya iman yang tersembunyi.Oleh yang demikian,Ikhwan al-safa mempunyai pendapat ilmiah yang tersendiri dalam bidang politik,di mana mereka lebih cenderung kepada pendapat Plato yang mengatakan bahawa orang yang lebih berhak memegang tampuk pemerintahan ialah para ahli fikir(ahli falsafah).
  Sesuai dengan namanya,”Ikhwan al-safa”,asas berdirinya kumpulan ini ialah persaudaraan yang dijalinkan secara tulus ikhlas,semangat setiakawan yang suci serta sikap saling menasihati antara sesama ahli untuk mendapat redha Ilahi.Oleh sebab itulah di dalam risalah yang mereka kumpulkan,para penulis selalu memulakan nasihatnya dengan kalimah”Ya ayyuhal akh!”(Hai saudara!) atau “Ya ayyuhal akh al-fadhil!”(Wahai saudara ku yang budiman!).Ini menunjukkan tanda setiakawan sesama anggota.

    Antara tokoh dan pemikir kepada Ikhwan al-safa ialah:                                                              
1)Abu Sulaiman Muhammad al-Busti
2)Abu Hasan Ali az-Zanjani
3)Abu Ahmad al-Mahrajani
4)Al-Faudi
5)Zaid bin Rifa'ah

 Untuk mengembangkan organisasi ini,mereka mempunyai cara yang tersendiri untuk menambah anggota kumpulan ini.Mereka mengutus beberapa orang utusan ke setiap pelosok untuk mencari orang-orang yang layak untuk dipilih sebagai anggota.Fokus mereka adalah di kalangan pemuda kerana di tangan pemudalah organisasi ini boleh berkembang dengan pesat kerana golongan inilah yang masih mempunyai daya dalam perkembangan organisasi dari satu generasi ke satu generasi.

Kumpulan ini dibahagikan kepada 4 kategori:
1. Ikhwan al-Abrar al-Ruhama’. Peringkat umur 15-30 tahun yang wajib mematuhi segala suruhan guru.
2. Ikhwan al-Akhyar wa al-Fudhla.’ Peringkat usia 30-40 tahun yang dikenali sebagai al- Ihkwan al-Akhyar yang mampu menjaga persaudaraan dan kasih sayang.
3. Ikhwan al-Fudhala’ al-Kiram. Peringkat umur 40-50 tahun yang dinamakan al-Ikhwan al-Fudhala al-Kiram, mereka yang menerima wahyu dan mencapai tahap kenabian.
4. Al-Kamal. Peringkat usia 50 tahun, mereka di gelarkan golongan Muqarrabun yang memahami hakikat dan makrifah serta mencapai taraf malaikat .



 KARYA IKHWAN AL-SAFA(RASA’IL)
     
 Identiti kitab

Rasa’il telah menonjolkan banyak titik-titik pertentangan dan telah menjadi bahan perbalahan  sama ada dalam kalangan Muslimin sendiri dan para sarjana Barat. Walaubagaimanapun,penulis,tempat dan tarikh penulisannya,penyebaran isinya,sifat atau ciri persaudaraan rahsia ini terus menjadi persoalan.
Ibn al-Qifti dalam kitabnya Akhbar al-hukama’ menyatakan bahawa menurut Abu Hayyan al-Tahwidi,penulis Rasa'il ialah:
1)Abu Sulaiman Muhammad ibn Ma'shar al-Basti            2)Abu'l Hasan Ali ibn Harun al-Zanjani
3)Abu Ahmad al-Mihrjani
4)Awfi
5)Zaid ibn al-Rifa'i
                                                                                                                  
Shahrazuri pula dalam kitabnya Nuzhat al-Arwah memberikan satu senarai penulis yang berlainan daripada Ibn al-Qifti.Menurut senarai kedua ini,para penulis Rasa’il terdiri daripada:

1)Abu Sulaiman Muhammad ibn Mas'ud al-Basti(al-Muqaddasi)
2)Abu'l Hasan Ali ibn Wahrun al-Sabi
3)Abu Ahmad al-Nahrjuri
4)Awfi al-Basri
5)Zaid ibn al-Rifa'i

             Ibn al-Qifti dalam memberikan pandangannya menganggap Ikhwan sebagai pengikut mazhab pemikiran Mu’tazilah yang sangat rasionalistik dalam pendekatan mereka.Manakala Ibn Taimiyah,seorang faqih Hanbali pula memberi pandangan yang menghubungkan Ikhwan dengan golongan Nusairis yang boleh dikatakan paling jauh dari aliran pemikiran Islamyang lain.
Minat yang mendalam terhadap Rasa’il dalam pengkaji Barat terserlah pada abad ke-19 dengan penterjemahan ke atas Rasa’il yang dibuat oleh Fr.Dieterici dengan gaya yang bebas dan tidak teratur dalam satu jangka masa yang panjang iaitu kira-kira 30 tahun.Satu lagi kajian awal dalam kalangan sarjana Eropah dibuat oleh G.Flugel yang menekankan tentang ciri rasionalistik dan sifat Mu’tazilah yang terdapat dalam Rasa’il.Pandangan Flugel mendapat sokongan daripada para sarjana abad ke-20 seperti E.G.Browne dan R.A.Nicholson,sementara Miguel Asin Palacios menganggap karya ini sebagai campuran diantara inspirasi Mu’tazilah dan Syiah.
            Semua pengkaji bersetuju bahawa Rasa’il telah dituli soleh Ikhwan al-Safa.Matlamat Ikhwan bukanlah sekadar mengumpul fakta-fakta atau keinginan untuk membentuk kumpulan sendiri berdasarkan falsafah tertentu.Sebaliknya,tujuan mereka adalah untuk pendidikan dan pengasuhan.Bahkan pada hampir setiap bab dalam Rasa’il akan memperingatkan pembaca bahawa di dunia ini tidak lebih daripada seorang yang terpenjara,dan melalui ilmu ia harus membebaskan dirinya daripada penjara dunia itu.

 Sumber Rasail
 Memang jelas bahawa Rasa’il mendapatkan bahannya daripada sumber-sumber aliran Pithagoras dan aliran Jabir terutama sekali dari aspek kosmologikal.Ikhwan mendakwa berkali-kali bahawa mereka adalah pengikut tradisi Phytagoras dan Nicomachus. Malah,mereka mengenali Phytagoras sebagai tokoh daripada kalangan orang Harran dan mempunyai ikatan perhubungan yang sangat erat.
  Kumpulan penulisan Jabir mengandungi banyak unsur daripada sumber Phytagoras dan hermetik,dan juga idea daripada Parsi,India,malah dari China.Hubungan yang erat antara Rasa’il dengan kumpulan penulisan Jabir tentu sekali menjadikan sumber Jabir sumber Ikhwan juga.Malah isi Rasa’il juga menunjukkan bahawa sumbernya tidak berlainan daripada sumber kumpulan karya  Jabir.Pengaruh al-Quran juga menyerapi  seluruh perspektif Ikhwan.Mereka mentafsirkan bahagian tertentu bagi kosmologi purba bersesuaian dengan peristilahan al-Quran tentang kursi dan arasy dan membuat rujukan kepada angelologi yang berdasarkan al-Quran.
            Sumber Ikhwan tidakperlu dianggap berdasarkan teks historical semata-mata.mereka sendiri memaklumkan bahawa sumber mereka termasuklah wahyu dan alam tabii sebagai tambahan kepada teks bertulis.Terdapat empat kitab yang didapati ilmu mereka,iaitu hasilkarya saintifik dan matematik yang ditulis sebelum mereka,kitab yang diwahyukan,idea platonik yang terbentuk di Alam tabii,dan ilham kemalaikatan yang dikenali kini dengan istilah intuisi intelek. 

Falsafah Ikhwan Al-Safa

Majoriti golongan sarjana percaya bahawa matlamat Ikhwan Al-Safa yang utama adalah untuk menggabungkan antara agama dan falsafah biarpun terdapat segelintir golongan ini bertanggapan  bahawa tujuan Ikhwan adalah mengubah situasi politik semasa dengan mengasaskan satu sistem falsafah yang mampu menjadi asas kepada kehidupan.Rumusan daripada Seyyed Hossein Nasr yang diterjemah oleh Baharuddin (2008: 15) mengungkapkan bahawa Ikhwan menetapkan kemurniaan falsafah sebagai satu jalan bagi memperoleh Hakikat Kebenaran dan kehendak mereka untuk menggabungkan bidang ini dengan perundangan Ilahi atau perundangan universal yang  diturunkan melalui para nabi.
“Sedapat-dapatnya di antara manusia dengan Tuhan” merupakan falsafah Ikhwan yang mana ia sebagai cara atau alat atau jalan yang mendekatkan semula golongan elit dalam kalangan manusia atau malaikat di muka bumi ini kepada Tuhan Yang Maha Tinggi.Keutamaanya ialah “mencapai nilai tertentu bangsa manusia, sesuatu yang membawa kepada kesedaran kembali kesemu ilmu-ilmu yang terkandung pada manusia asalnya.Melalui falsafah manusia menyedari sifat-sifat murni yang menjadi perwatakan bangsanya.Dengan pencapaian itu manusia mencapai kemanusiaan yang sebenar dan maju ke atas melintasi hierarki kewujudan sehingga melintasi jalan yang lurus dan titian yang benar lalu ia menjadi malaikat...”. Seyyed Hossein Nasr yang diterjemah oleh Baharuddin (2008:16)
Pandangan yang jelas oleh Ikhwan terhadap perhubungan falsafah dengan Islam ialah penyamaan yang dibuat antara falsafah dengan iman aspek dalaman Islam.Hal ini demikian kerana, menurut mereka iman ialah “khidmat Ilahi golongan ahli falsafah”.Perbezaan ini merupakan persamaan dengan pembahagian yang ditetapkan oleh golongan sufi mengenai Islam, islam dan ihsan sebagai tiga peringkat Tradisi Islam yang mana iman dan ihsan bukan sahaja kepercayaan biasa sebaliknya ia merupakan hikmah dan irfan (makrifah).
Walau bagaimanapun, tetap wujud perbezaan antara dua golongan ini apabila semua amalan iman dan ihsan ahli Sufi akan dikaitkan terus dengan wahyu yang disampaikan  oleh Nabi Muhammad manakala doa yang ditunjukkan oleh Ikhwan pula menjurus kepada amalan agama warisan Nabi Idris yang terdiri daripada golongan Harran sebagai pewaris utama warisan di Timur Tengah yang dikenali sebagai  ‘Aliran Pithagorian Timur’ yang juga pemelihara dan pendakwah bagi fahaman Hermeticisme di dunia Islam.
Doa-doa bersifat falsafah ini dilakukan sebanyak tiga kali dalam satu bulan pada waktu malam iaitu permulaan bulan, pertengahan bulan dan antara 25 hari bulan dengan akhir bulan.Terdapat juga pesta kefalsafahan dalam setahun.Ikhwan menghubungkaitkan pesta besar ini dengan sambutan ‘id-al-fitr pada penghujung bulan Ramadhan, id al-adha disambut pada 10 Zulhijah  dan ‘id al-ghadir pada 18 hari bulan pada bulan yang sama iaitu tarikh pengukuhan ‘Ali ibn Abi Talib oleh Nabi Muhammad sebagai penggantinya di Ghadir Khumm.Bagi musim sejuk pula, terdapat hari berpuasa berpanjangan sebagai lambang kepada ‘tujuh orang yang tidur di dalam gua’.
Oleh hal yang demikian, hubungan falsafah, doa dan hikmah melabelkan Ikhwan tergolong dalam aliran warisan Hermeticisme atau Neo-Pythagoreanism.Walaupun hubungan ketiga-tiga komponen ini dilihat agak kabur, namun dari sudut doktrin adalah lebih munasabah dan masuk akal berbanding dengan teori bahawa Ikhwan hanya mengambil falsafah secara “teori” dan “ilmiah” serta menggabungkannya dengan syariat tanpa kemampuan untuk bersikap ikhlas kepada salah satu atau kedua-duanya.

 Ilmu Angka

Ilmu nombor atau ilmu angka (‘ilm al-‘adad) dianggap oleh Ikhwan sebagai suatu cara yang membawa kepada penggarapan terhadap kesatuan, sebagai satu lmu yang lebih tinggi kedudukannya berbanding dengan alam tabii dan menjadi prinsip  kepada kewujudan serta akar bagi segala ilmu lainnya, aliksir pertama dan alkimia yang paling tinggi. Seyyed Hossein Nasr yang diterjemah oleh Baharuddin (2008:33)
Ikhwan menyatakan tentang keutamaan aritmetik dalam Quadrivium mengenai makna nombor atau angka dan hubungannya dengan alam tabii :
Segala yang secara tabiinya dan dengan kaedah yang sistematik diatur di alam sejagat sama ada bahagian-bahagiannya atau keseluruhannya adalah ditetapkan dan diperintah menuruti nombor atau angka melalui bayangan asal dan idea Pencipta, yang mencipta semua benda: kerana bentuknya telah ditentukan ibarat sketsa awal dengan kekuasaan nombor sedia terbayang di dalam fikiran Tuhan yang mencipta seluruh alam iaitu nombor yang bersifat konseptual semat-mata dan bukan benda daripada segi apa pun, supaya dengan rujukan kepadanya, sebagaimana juga perancangan berseni itu, terjadi segala semua benda, masa,gerak, langit, bintang-bintang dan segal pengolahan dan pertumbuhan. Seyyed Hossein Nasr yang diterjemah oleh Baharuddin (2008:37)
Dalam dunia Islam, para aliran pemikiran sepenuhnya menggunakan angka dan kualitatif aliran Phythagoras sebagai asas kepada keseimbangan.Aspek “dua muka” dalam matematik iaitu kualitatif dan kuantitatif menjadi jambatan yang dengannya seseorang itu boleh mengembara daripda alam kuantitatif kepada alam mithal.
Oleh hal yang demikian, Ikhwan sering mengaitkan hubungan tuhan dengan alam atau hubungan metafizikal antara al-wujud dengan kejadian ibarat hubungan angka satu dengan angka lain.  
 Tegasnya, teori nombor dalam pandangan Ikhwan Al-Safa’ adalah hikmah Illahi dan mengatasi perkara lain. Semua benda dijadikan menurut acuan kewujudan nombor. Seyyed Hossein Nasr yang diterjemah oleh Baharuddin (2008:34). Tidak dinafikan apabila Ikhwan begitu mengaitkan angka dengan segala sesuatu yang berlaku di alam ini kerana Ikhwan mempunyai hubungan yang rapat bahkan menjadi pengikut Phythagoras yang banyak terlibat dalam matematik.
Walau bagaimanapun, tidak semua perkara yang berlaku itu boleh dikaitkan dengan angka kerana pembuktian segala sesuatu itu hendaklah berdasarkan bukti yang jelas atau mantiq (logik) yang boleh diterima akal manusia atau madaik al-‘uqul seperti fenomena berlakunya kejadian hujan akibat pengumpulan air yang banyak dalam awan.
Ilmu angka ini turut tidak dipersetujui dan disanggah oleh Al-Ghazali yang mengatakan “Adapun matematik, ia melihat dari sisi al-kamm al-munfasil (kualiti yang tidak mengalami perubahan sebagaimana dilambangkan dengan bilangna-bilangan asli ). Maka yang demikian itu tidak memiliki korelasi dengan masalah ketuhanan”(Dr.M.Fahmi Muqoddas 2004: 24)

 Sfera dan Unsur

Ikhwan Al-Safa dan para ahli kosmologi Abad Pertengahan meletakkan bumi di tengah alam semesta dengan bulan, matahari dan planet-planet berputar disekelilingnya. Dilangit  terdapat pergerakan bulatan, bentuk bulat yang sempurna serta pergerakan bercantum dengan jirim bagi meweujudkan jauhar atau inti pati yang menghasilkan langit. Ikhwan mendefinisikan jawhar yang mempunyai sifat “pada satu pihak jisim langit tidak menerima sebarang pertumbuhan atau pemusnahan, ia tidak menerima perubahan, transformasi, penambahan, atau pengurangan, dan pada satu pihak yang lain pula pergerakannya adalah sempurna dengan itu, bulat”. Seyyed Hossein Nasr yang diterjemah oleh Baharuddin (2008:54).
            “Inti pati ” ataupun “unsur kelima” Ikhwan adalah berbeza dengan ether yang dipercayai oleh Aristotle dan Ibn Sina. Menurut falsafah Aristotle dan Ibn Sina, kosmos terbahagi kepada dua bahagian yang tepat iaitu bahagian sublunar yang terjadi daripada empat unsur serta bahagian langit yang terjadi daripada ether dan tidak mempunyai walaupun satu daripada empat sifar yang asasi iaitu panas, sejuk, basah dan kering. Berbeza dengan Ikhwan yang mengatakan bahawa kosmos merupakan satu inti pati yang mempunyai empat sifat tadi. Secara jelasnya, unsur yang dimaksudkan Ikhwan adalah empat unsur yang dimaksudkan oleh Aristotle dan Empedocles tadi iaitu api, angin, air dan tanah masing-masing mempunyai sepasang sifat panas, sejuk, kekeringan dan kelembapan.
            Mereka merujuk kepada sfera unsur atau ustuqus yang berasal dari istilah Yunani iaitu stoichos yang bermaksud asas atau dasar. Hal ini demikian kerana unsur adalah asas daripada mana-mana makhluk di bumi ini mendapat kewujudan. Unsur sebenarnya bahagian-bahagian yang membentuk alam galian, alam tumbuh-tumbuhan dan alam haiwan. Ia tidak dapat bertindak dengan sendirinya sebaliknya sentiasa tunduk dan pasif kepada kuasa tabii yang bertindak ke atas keempat-empat unsur ini tidak kira dari atas atau bawah.



  RUMUSAN
            Ikhwan al-Shafa merupakan organisasi Islam rahsia yang telah berhasil menghimpunkan pemikiran-pemikiran mereka dalam sebuah ensiklopedia,Rasail Ikhwan al-Safa. Melalui karya ini jejak-jejak ajaran mereka dapat diperoleh,baik tentang ilmu pengetahuan, falsafah,dan agama. Ikhwan al-Safa telah menjadi sebahagian kajian falsafah pendidikan Islam, falsafah Islam, bahkan Tafsir al-Qur’an Esotoris.
              Sebagai rumusannya,Ikhwan al-Safa merupakan satu kumpulan yang terdiri daripada ahli falsafah Islam yang berjuang untuk mengharmonikan suasana pada zaman tersebut. Usaha mereka untuk mengharmonikan antara agama dan falsafah dianggap satu usaha yang berani tatkala banyak pihak menentang mereka.Hal ini kerana banyak pemikiran dan falsafah beliau  diambil daripada Aristotle dan Plato serta ramai lagi ahli falsafah Greek.Perkara ini secara tidak langsung menyebabkan Ikhwan al-Safa menggunakan unsur Gnostisisme yang jelas dianggap Imam al-Ghazali sebagai ilmu yang sesat. Namun begitu, sejarah telah membuktikan bahawa Ikhwan al-Safa telah berjaya membawa impak yang besar dalam dunia falsafah Islam.

 RUJUKAN

Nasr,Seyyed Hossien . 1993 . Pengenalan doktrin kosmologi islam/ penterjemah Baharuddin Ahmad,Osman Bakar-Ed.ke-2: Dewan bahasa dan pustaka

Yunasril Ali . 1991 .  Perkembangan pemikiran falsafi dalam islam: Bumi Aksara Jakarta

C.A.Qadir . 1989 . Filsafat dan ilmu pengetahuan dalam islam: Yayasan Obor Idonesia

Dr.M.Fahmi Muqoddas, M.Hum . 2004 . Ibn Rusyd Tahafut At-Tahafut

Henry Corbin . 1993 . History of Islamic Philosophy: London

Abu Hamid Al-Ghazali . 2003 . Kerancuan Filsafat (Tahafut al-Filsafat): Yogyakarta

الدوكتور جبور عبد النور
نوابغ الفكر العربى اخوان الصفاء
دار المعارف بمصر

PENUTUP

  Kesimpulannya,Ikhwan al-Safa adalah satu kumpulan yang terdiri daripada ahli falsafah Islam yang berusaha untuk menyelamatkan keadaan pada zaman itu. Usaha mereka untuk menyelaraskan antara agama dan falsafah dianggap satu usaha yang berani ekoran banyak pihak yang menentang mereka termasuk golongan Mutakalllimin yang menganggap Ikhwan al-Safa berusaha menyatukan antara agama Islam dan falsafah Yunani. Hal ini kerana banyak pemikiran dan falsafah mereka diambil daripada Aristotle dan Plato serta ramai lagi ahli falsafah Yunani dan Greek.
  Ikhwan al-Safa merupakan organisasi Islam rahsia yang telah berjaya mengumpulkan pemikiran-pemikiran mereka dalam sebuah ensiklopedia, Rasail Ikhwan al-Safa. Melalui karya ini, jejak-jejak ajaran mereka,sama ada tentang ilmu pengetahuan, falsafah,dan agama dapat diperoleh dan dijadikan panduan.Ikhwan al-Safa telah menjadi sebahagian kajian falsafah pendidikan Islam, Falsafah Islam,bahkan Tafsir Al-Qur’an Esotoris.








Saturday 5 October 2013

Welcome to my blog....!
It's all about philosophy..ngeh3